Laman Maya Azura

Seindah Aksara

Blog EntryTerharuAug 30, '08 2:54 AM
for everyone
Dua hari sebelum kedatangan Ramadhan 1429, aku bersama JK Pewani UiTM Johor telah menganjurkan satu program bersama anak-anak yatim dari sekolah-sekolah rendah di pinggir bandar Segamat.

Besar hati kami apabila melihat mereka begitu seronok mencuba kasut baru untuk dipakai ketika Syawal nanti. Mereka juga begitu berselera menikmati hidangan di salah sebuah restoran makanan segera.

Aku begitu terharu apabila anak-anak ini begitu tidak banyak kerenah. Mudah saja mereka memilih kasut yang berkenan di hati.Mungkin agaknya mereka tidak pernah dapat peluang untuk memilih kasut pilihan masing-masing sebelum ini. Ketika di restoran, aku bertanya kepada salah seorang anak-anak ini, 'kenapa tidak dimakan makanan itu?' jawab anak itu, 'saya nak bawa balik rumah, boleh kongsi dengan adik-adik'.

Pengalaman ini banyak membuatkan aku berfikir tentang kehidupan. Sesungguhnya aku bersyukur di atas setiap kurniaanNya...Alhamdullilah...

Blog EntryBikin filim...? (samb)Jul 8, '08 4:57 AM
for everyone

Seperti yang dijadualkan pada 18 Jun yang lalu, aku bersama rakan sepasukan bergerak ke Kota Damansara untuk sesi voice over video korporat UiTM Johor. Sebaik tiba di studio penerbitan tersebut, kami diminta untuk membuat sedikit pindaan skrip untuk disesuaikan dengan pergerakan visual.

Penerbit memberitahu kami, Wan Zaleha Radzi yang sepatutnya membuat voice over ini tidak dapat bersama kami kerana sedang berada di luar negara. Tempatnya digantikan oleh Haji Mohd Noor Sulaiman. Walaupun agak kecewa kerana hasrat untuk bertentang mata dengan Wan Zaleha tidak tercapai tetapi kekecewaanku terubat dengan kehadiran Haji Mohd Noor Sulaiman. Aku sememangnya mengagumi kewibawaan Haji Mohd Noor sebagai penyampai tv. Beliau begitu sinonim dengan suara 'jantan'nya tetapi penuh kelembutan dan keyakinan.

Bukan senang sebenarnya kerja-kerja voice over ini. Semasa rakaman dilakukan, kami diarahkan untuk berdiam diri kerana microphone rakaman amat sensitif dengan sebarang bunyi. Pindaan skrip juga terpaksa dilakukan berkali-kali supaya menepati dengan pergerakan visual. Bimbang juga di hati kalau Haji Mohd Noor fed-up dengan kami, tetapi sikapnya yang cool itu amat melegakan kami. Mood penyampai perlu dijaga agar suara yang dikeluarkan kedengaran  jelas dan bertenaga.

Proses voice over selesai selepas tiga jam, memang agak memenatkan tetapi ini merupakan pengalaman yang cukup menarik. Setiap perkataan yang dikeluarkan perlu diteliti kejelasan dan sebutannya. Intonasi juga perlu mantap. Mujur kami mempunyai seseorang yang cukup professional. Kalau tidak, sampai esok pagi pun...belum tentu siaplah nampaknya.

Keesokannya, kami datang lagi ke Kota Damansara setelah melepaskan lelah di Concorde Shah Alam. Video tersebut telah selesai proses suntingannya dan dipratontonkan kepada kami. Selesai juga akhirnya. Tengahari itu kami pulang ke Segamat dengan senyuman menguntum. Alhamdullilah.




Blog EntryEzaran & AliaJun 17, '08 4:21 AM
for everyone

Pada 31 Mei 2008 yang lalu, adik bongsuku Ezaran telah melangsungkan pertunangan dengan gadis pilihannya, Alia. Tarikh pernikahannya pula telah ditetapkan pada 20 Disember ini dan 27 Disember pula majlis menjemput menantu.

Banyak sebab aku gembira dengan semua ini. Paling aku seronok apabila aku berpeluang mempamerkan kreativiti aku dalam menghasilkan kerja-kerja halus. Maklum saja, bercakap pasal pertunangan atau perkahwinan mesti tak lari dengan hantaran perkahwinan yang bermacam-macam. Aku menawarkan diri untuk menguruskan bab-bab hantaran ni. Seronok aku dapat menzahirkan kreativiti atau sebenarnya bakat terpendam aku ni hehehe. Apapun aku berterima kasih kepada kedai bunga dan hantaran kawin kat segamat ni, coz menyediakan basenya. Aku ni tukang touch up dan tambah-tambah supaya nampak lagi cantik. Kira-kira dalam 50% jugalah kreativiti aku digunakan dalam menyediakan barang2 ni. Puas hati aku bila tengok barang-barang tu semua tersusun indah lagi cantik lagi menarik.

Ini gambar bakal adik ipar aku dgn hantaran dia. Hantaran warna kuning ada rama-rama tulah kreativiti aku. Majlis kahwinnya nanti, aku akan pastikan kreativiti aku ini akan digunakan seratus peratus. Buat ezaran, sediakan aje ongkosnya ye...


Blog EntryBikin filim...? hehehe mana ada...Jun 17, '08 3:10 AM
for everyone

Dalam tempoh 2 minggu ini, dah dua kali aku ke Kota Damasara melaksanakan tugasan rasmi yang telah diamanahkan kepada aku & rakan sepasukan. Kerjasama kali ini adalah untuk menerbitkan video korporat. Walaupun aku tidak terlibat seawal proses shooting di lokasi, namun banyak pengalaman yang aku kutip sepanjang pembikinan video ini. Sekurang-kurang aku dapat melihat bagaimana orang-orang seni ini bekerja. Berbekalkan aplikasi & fasiliti yang berteknologi tinggi, mereka mengerah minda dan tenaga untuk menghasilkan sesuatu yang kreatif. Shot-shot yang loose akhirnya menjadi satu cerita yang menarik. Tak sabar aku menunggu minggu depan kerana aku akan berpeluang bersua muka dengan Wan Zaleha Radzi & Anne Raj. Mereka akan membuat voice over untuk video ini. Harapnya bertambah lagilah pengalaman dan pengetahuan aku dalam bidang penerbitan ini.


Blog EntryTak sabar...Jun 17, '08 2:54 AM
for everyone

Tak banyak aktiviti yang dapat aku lakukan sepanjang cuti. Selain mula berjinak-jinak untuk menulis artikel, sebahagian besar masaku diperuntukkan untuk menyelesaikan kerja-kerja rasmi yang tertangguh. Galeri Korporat di bawah pengurusan aku, Insya Allah akan siap sepenuhnya penghujung Jun ini dan akan mula dibuka Julai nanti. Banyak keringat dan air mata yang aku curahkan untuk galeri ini. Selain kata-kata sinis segelintir mereka, aku juga harus memenuhi setiap aspirasi bossku, yang telah bertukar ganti seramai 3 orang sepanjang 2 tahun ini. Namun itu tidak menjadi masalah bagiku, malah aku akan sentiasa berusaha untuk memastikan bossku akan berpuas hati dengan hasilnya. Sungguh, aku tak sabar untuk menyaksikan pembukaan galeri ini. Mungkin tak akan dapat memuaskan hati semua pihak, tapi sekurang-kurangnya aku ingin berbangga dengan diriku sendiri di atas segala yang aku curahkan.

Esok (17/6) aku akan ke Kuala Lumpur untuk preview galeri. Harap sangat segalanya akan berjalan mengikut perancangan. Kalau tidak, bertambah peninglah aku jadinya...


Blog EntryPuji vs KejiJun 13, '08 3:03 AM
for everyone
Benar kata orang, rambut sama hitam tapi hati lain-lain. Payah benarkah untuk berterima kasih dan memuji hasil orang lain selain dari mengeji dan membenci....? Kalau salah, tegurlah dengan tulus agar hati orang yang ditegur akan merasa mulus. Bukankah itu lebih manis dan berpekerti...?

Blog EntryRahmatJun 13, '08 2:57 AM
for everyone

Cuti semester sudah hampir ke penghujung. Namun masih banyak kerja-kerja yang perlu aku selesaikan sebelum kuliah bermula pada Julai nanti. Kesibukan ini membataskan waktu senggangku. Setakat ini aku hanya sempat bercuti rehat 2 hari. Itupun atas sebab meraikan pertunangan adik bongsuku.

Tapi aku cukup gembira dengan apa yang aku lakukan. Aku harap sumbangan aku yang tak seberapa ini akan mendapat rahmat yang setimpal daripada Allah swt. Di samping dapat terus berbakti kepada bangsa dan negaraku.


Blog EntryAnak bangsakuApr 18, '08 12:15 PM
for everyone

Semakin kita menempuh kemajuan dan kejayaan, sebenarnya tanpa disedari banyak juga yang kita ketinggalan. Ini aku saksikan sendiri di depan mataku. Kerenah segelintir para pelajarku sering membuatkan aku berfikir...apakah yang akan terjadi 10 atau 20 tahun akan datang? Masih kekalkah budaya kita yang penuh kelembutan, kesopanan dan amat menghormati antara satu sama lain ini?

Sedih dan kecewa acap benar menyentuh jiwaku...sedaya upaya aku cuba untuk memberikan yang terbaik, tapi kadangkala racun yang aku terima...entahlah...


Blog EntrySibuk...Apr 18, '08 12:14 PM
for everyone
Lama benar aku tak menjengah laman ini...kesibukan sering membataskan waktu untuk aku bermesra di sini. Semester kali ini, jadualku memang lebih padat dari biasa. Fakulti aku kekurangan tenaga, jadi aku terpaksa mengimbangi beberapa kekurangan tersebut. Namun, demi anak bangsa aku gagahkan diri untuk terus berbakti.

Semester seterusnya aku bercadang ingin menjadi lebih "reserved" daripada aktiviti-aktiviti rasmi di kampus. Aku ingin sekali menumpukan perhatianku kepada kerja-kerja penyelidikan dan penerbitan. Insya Allah...sebelum tahun ini berakhir, akan aku hasilkan sebuah penyelidikan dan artikel-artikel penulisan. Ini azamku...:)

Blog EntryHari Keluarga FPM 2008Feb 23, '08 7:25 AM
for everyone

Hari ini 23 Februari 2008, pelajar-pelajar aku telah menganjurkan Hari Keluarga yang meriah dengan acara sukaneka dan makan-makan. Seronok sekali mereka mempamerkan kemahiran dalam beberapa acara sukaneka seperti bowling kelapa, galah panjang, kerusi muzik, pecah belon, dam aji, tarik tali, cari gula-gula dalam tepung dan sebagainya. Aku dan rakan-rakan pensyarah yang lain juga tidak terkecuali menyertai acara-acara tersebut. Memang seronok dan menggembirakan. Berbagai aksi lucu dan spontan para pelajarku begitu menceriakan. Rakan-rakan pensyarahku juga begitu sporting belaka. Hampir semua acara kami sertai. Menjerit dan tertawa mengalahkan pelajar-pelajar kami pula. Apa salahnya kan...sekali sekala je. Ahli keluarga cilik kami pun turut serta. Nafisah, Zarif, Nana dan Azeem seronok sekali mencari gula-gula dalam tepung. Harap-harap acara ini akan berterusan setiap semester, biar meriah dan ceria fakulti kami...insya allah. 


Blog EntryBanjir oh BanjirDec 30, '07 8:02 AM
for everyone

Musim cuti sekolah selalunya adalah musim untuk orang melangsungkan majlis perkhawinan. Pada waktu begini, banyaklah jemputan-jemputan daripada sanak-saudara dan sahabat-handai yang perlu dihadiri. Aku dan suami juga tidak terkecuali. Mana yang berkesempatan, kami akan cuba untuk memenuhi undangan tersebut.

Namun, apa yang ingin dikongsi di sini sebenarnya bukanlah kisah orang kahwin tapi kisah aku dan suami yang menempuh perjalanan yang agak luar biasa untuk menghadiri majlis perkahwinan sepupuku di kampung.

Kami memulakan perjalanan pulang ke kampung pada hari Jumaat (14 Dis 2007) dalam suasana mendung. Maklum saja musim tengkujuh dan banjir seringkali melanda setiap hujung tahun. Suamiku memandu kenderaan dengan melalui laluan yang biasa kami gunakan iaitu melalui Gemas, Bahau, Bera, Temerloh, Jerantut dan akhirnya terus ke kampungku di Lipis. Selalunya, kami akan berhenti rehat di Bandar Temerloh dan menikmati hidangan tengahari di sana. Di ruang mata kami telah terbayang nasi panas berlaukkan ikan patin masak tempoyak di gerai tepi sungai Pahang pinggir Bandar Temerloh. Ikan patin masak tempoyak merupakan menu tetap kami setiap kali singgah makan di Temerloh. Ditambah pula dengan minuman air jagung yang cukup 'special' di gerai tersebut. Hai...memang kecur air liur dibuatnya.

Perjalanan kami bergerak lancar sehinggalah kami sampai di Bandar Bera kira-kira 30km dari Temerloh. Kami terpandang papan tanda tertulis "Banjir di Hadapan. Jalan Ditutup kepada Semua Kenderaan". Masya Allah...bayangkanlah perasaan kami ketika itu, kami telah menghabiskan separuh daripada perjalanan kami dan tiba-tiba terpaksa berdepan dengan masalah ini pula. Aku mengutuk diri sendiri kerana tidak menghubungi pihak polis terlebih dahulu. Tapi sebenarnya sebelum memulakan perjalanan tadi, aku telah menyemak laporan banjir di Internet tetapi tiada pula dinyatakan Jalan Bera - Temerloh ditutup.

Kami menyaksikan di hadapan kami, jalan yang sering kami lalui kini telah menjadi hamparan lautan. Bot-bot penyelamat bersimpang siur memberikan bantuan kepada mangsa-mangsa yang memerlukan. Sayu juga hati melihat banyak rumah-rumah penduduk yang ditenggelami air. Semua kawasan di sekitar bandar Bera terputus bekalan air. Masjid Bera yang kami singgah untuk solat jamak zohor dan asar juga terputus bekalan air bersih.

Kami kemudiannya singgah di salah sebuah restoran di Bera. Harapan untuk menikmati ikan patin masak tempoyak kini hancur berkecai. Sudahnya kami menikmati pau daging dan steamboat sebagai hidangan tengahari kami walaupun sebenarnya jam sudah menunjukkan pukul 4 petang.

Suamiku ligat memikirkan jalan alternatif untuk pulang ke kampung. Setelah bertanyakan salah seorang pegawai polis di situ, kami akhirnya melalui Gugusan Felda Mendi, Felda Chemomoi, melepasi Simpang Pelangai, Manchis dan Karak. Dari Karak kami perlu melalui Bandar Bentong, Bandar Raub sebelum sampai ke Lipis. Perjalanan ini juga cukup luar biasa, laluan ke Karak merupakan jalan yang merentasi hutan dan bukit yang pastinya berbengkang-bengkok. Paling mengerikan, kami perlu melalui beberapa kawasan tanah runtuh. Struktur tanah yang lemah akibat hujan menjadikan jalan tersebut agak merbahaya. Jalan ini juga sebenarnya jarang dilalui oleh kenderaan. Alhamdullilah, akhirnya kami tiba di Pekan Karak lewat jam 6.50 petang.

Kemudian, kami meneruskan perjalanan ke Raub. Sampai di Raub kami singgah untuk solat Maghrib. Kami makan malam bersama sepupuku, Hasnul yang bekerja di daerah itu. Borak punya borak jam sudah menunjukkan pukul 9 malam, lalu kami meneruskan perjalanan ke kampungku. Perjalanan kami agak lancar walaupun kereta agak sibuk melalui jalan tersebut. Perjalanan kami tinggal kira-kira  4km sebelum sampai ke rumah ibuku. Sebaik melepasi bulatan di pekan Benta, kereta kami terpaksa berbaris panjang. Ya allah...apa dah jadi...ada accident ke..? Risaunya hati bukan kepalang, apatah lagi badan dah cukup letih setelah menempuh perjalanan yang cukup panjang daripada biasa. Tanya punya tanya, kami diberitahu ada pokok tumbang merentasi jalan dan usaha untuk mengalihkannya sedang dijalankan.

Alahai...besarnya dugaan kami untuk menghadiri majlis perkahwinan sepupuku itu. Akhirnya, kami tiba di rumah setelah jam melepasi pukul 10 malam. Penat badan tak terkata, malam itu kami tidur dengan mimpi menikmati ikan patin masak tempoyak di Temerloh...hehehe..


Kesibukan kerja begitu membataskan waktu, namun pada 6 - 8 Disember yang lalu aku dan suami mencuri ruang untuk bersantai sambil merehatkan fikiran yang sentiasa berserabut ni. Kami sepakat untuk ke Kuala Rompin, Pahang...cadangnya nak menghirup udara bersih Laut China Selatan...lagipun Rompin tu hanya mengambil masa dalam 2 jam je untuk ke sana dari Segamat ni.                                         

Kami memilih untuk menginap di Summerset Resort, kira-kira 20km dari Bandar Kuala Rompin. Perjalanan kami bermula dalam suasana hujan yang kadang-kala lebat dan kadang-kala renyai. Maklum saja...bulan 12 ni kan musim tengkujuh. Sebaik kami check in petang tu...suamiku tak sabar-sabar nak berenang di swimming pool...tapi tak sampai 10 minit...dia dah mengigil kesejukan....sejuk....waktu tu baru je lepas hujan...tambah lagi dengan angin pantai yang menderu-deru menerjah. Malam tu, kami tak ke mana-mana...sekadar menghabiskan masa di sekitar resort tu sahaja.

Keesokannya, kami mencari tempat untuk menikmati keenakan udang galah..katanya Kuala Rompin ni memang terkenal dengan udang galah yang segar-segar. Akhirnya, kami singgah kat sebuah medan selera di tepi jalan menghala ke bandar Kuala Rompin, dan tiba-tiba hati terpaut untuk singgah di Gerai Mak Ngah...Alhamdullilah kami tak tersalah pilih tempat makan...udang galah goreng, sambal sotong, sambal lala dan masak lemak cili api siput sedut menjadi hidangan kami tengahari itu, tambah plak dengan sambal belacan dgn ulam-ulaman...memang best...tak ingat dunia kami makan.

Selesai makan, kami kembali ke resort..suamiku macam biasa memang tak akan berenggang dengan laptopnya sehingga aku naik bengang....kalau masih nak berkepit dgn laptop tak yahlah datang bercuti, bebelku. Petang tu...kami keluar jalan-jalan kat sekitar Bandar Kuala Rompin. Kami juga ke Pantai Lanjut...lepak-lepak jap. Tapi paling best, semasa kami menyusur Pantai Hiburan, kami dengan berseleranya menikmati cendol, lempeng kelapa, keropok lekor dan rojak buah...fuyooo...terangkat betul.

Selepas tu...kami menjamu mata di sekitar Tanjung Gemuk...melihat bot-bot nelayan yang berbagai bentuk dan warna. Kebanyakan nelayan tak ke laut musim tengkujuh begini....jadi banyaklah bot-bot nelayan yang bertambatan di muara laut. Kami mencari kedai menjual hasil laut Rompin...cari punya cari...jumpala satu kedai kat tengah Bandar Kuala Rompin tu...kami pun borongla ikan bilis, sotong kering dan ikan masin. Nak cari udang galah segar tak de...sebab nelayan tak keluar menangkap udang hujan-hujan ni....bahaya. Malam tu...kami menikmati kesegaran ikan bakar dan kerang bakar di benteng selera Bandar Kuala Rompin. Oklah jugak makan kat gerai tu.

Hari ni dah nak balik...tak sedar je dah 2 malam berlalu di Kuala Rompin. Sekali lagi sebelum balik kami singgah kat Gerai Mak Ngah tu....meratah udang galah buat kali terakhir sebelum pulang ke Segamat.

 


Blog EntryMasak Lemak Tempoyak Udang GalahNov 17, '07 12:21 AM
for everyone


Bahan-bahan:

8 ekor udang galah (saiz sederhana)

1/2 biji bawang besar

1 ulas bawang putih

40 biji cili api

1/2 inci kunyit hidup

1/2 inci halia

1 batang serai dititik

2 sudu besar tempoyak

3 helai daun limau purut

2 cawan santan

Garam secukup rasa

 

Cara Memasak:

1. Bawang besar, bawang putih, cili padi, kunyit dan halia ditumbuk hingga lumat. 

2. Panaskan periuk, masukkan bahan-bahan yang ditumbuk tadi bersama udang dan santan.

3. Masukkan serai, daun limau purut, tempoyak dan garam secukup rasa.

4. Kacau dan biarkan sehingga mendidih.

5. Sedia untuk dihidangkan.

Tips: untuk mendapat rasa yang lebih sedap, gunakan tempoyak yang masih baru.

Selamat Mencuba...!


Blog EntryTerujaNov 15, '07 8:31 AM
for everyone
Hmmm...sejak 2-3 hari ni kalau tak membelek blog ni macam tak kena je rasanya....maklumlah baru nak berjinak-jinak dgn dunia maya ni. Banyak sangat benda yang nak di'share'...tp kena sikit-sikitla....

Blog EntrySalam Sewangi KasihNov 14, '07 9:45 AM
for everyone
Bermula saat indah berkongsi jiwa dan cinta bersama kalian yang mungkin mengenali.....

© 2009 Multiply, Inc.    About · Blog · Terms · Privacy · Corporate · Advertise · Contact · Help